We had a Speak Up! campaign in December of 2010 to encourage members of the public to speak up against child abuse. We posted Harian Metro‘s report on our event below –
LAZIMNYA kita mendengar rayuan dan rintihan kanak-kanak yang mengalami penderaan, tetapi kita masih kurang mempedulikan mereka. Dalam usaha menggalakkan rakyat negara ini untuk memainkan peranan lebih penting dalam menangani masalah penderaan kanak-kanak, Persatuan Kebajikan Suara Kanak-Kanak Malaysia baru-baru ini melancarkan kempen Speak Up bagi menggalakkan masyarakat supaya tidak hanya mendiamkan diri, sebaliknya bertanggungjawab terhadap kanak-kanak di sekeliling mereka.
Pengarah Eksekutifnya, Anderson Selvasegaram, berkata kempen terbabit bertujuan mencetus kesedaran serta memperoleh sokongan rakyat negara ini dalam melahirkan kebimbangan mereka terhadap pelbagai isu yang menjejaskan kanak-kanak termasuk penderaan, pemerdagangan, pelacuran dan buruh pada usia masih muda. “Ramai yang menyedari isu ini tetapi sedihnya, ramai yang tidak memainkan peranan proaktif dalam menangani masalah terbabit apabila mereka melihat atau mendengar mengenai satu-satu kes.
“Tidak kira sama ada kita mengenali atau tidak kanak-kanak terbabit, ia masih menjadi tanggungjawab kita untuk melaporkan kejadian sedemikian. “Nyawa kanak-kanak itu dalam bahaya justeru kami menggesa setiap anggota masyarakat untuk membantu menyelamatkan kanak-kanak berkenaan,” katanya pada majlis pelancaran kempen di Taman Tasik Lembah Rekreasi Kiara, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.
Menurutnya, masyarakat tidak seharusnya mendiamkan diri malah mereka juga patut mengenepikan sikap ‘tidak apa’ bagi melindungi kanak-kanak daripada menjadi mangsa penderaan dan eksploitasi.
“Setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk membesar dalam persekitaran yang selamat dan dilindungi daripada pelbagai bentuk penderaan sama ada fizikal, emosi, seksual atau pengabaian,” katanya. Berdasarkan statistik, menurutnya, terdapat antara 2,000 sehingga 3,000 kes penderaan dilaporkan setiap tahun. Lebih memeranjatkan, kira-kira 70 peratus pendera dikenali kanak-kanak itu dan 50 peratus didera oleh ibu bapa mereka sendiri.
“Apa yang kita lihat daripada statistik kes yang dilaporkan itu hanya sebahagian kecil daripada penderaan sebenar kanak-kanak di Malaysia. “Banyak lagi kes yang tidak dilaporkan dan kita perlu melakukan pelbagai usaha untuk menyelamatkan kanak-kanak ini kerana trauma psikologi kanak-kanak didera ini berpanjangan hingga mereka dewasa dengan kesan yang sungguh menyedihkan,” katanya.
Kempen terbabit menarik perhatian beratus orang daripada pelbagai latar belakang yang membincangkan isu membabitkan kanak-kanak. Ia turut mendapat sokongan pihak penaja termasuk Audioscapes, Boh Plantations, Childline Malaysia, Dentsu Malaysia, Jabatan Landskap Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nestle, Papermate, Polis Diraja Malaysia, Tetra Pak dan Tabung Pendidikan Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef).