SUKA Society was interviewed recently by Bernama to discuss concerning our work among victims of human trafficking. The interview was published by Utusan Malaysia on the 6th of September 2012.
PADA Oktober 2010, tiga sahabat bergabung tenaga dan menubuhkan Persatuan Kebajikan Suara Kanak-Kanak Malaysia atau lebih dikenali sebagai Suka Society. Tiga sahabat itu umpama tangan-tangan harapan telah bersatu untuk memberi kehidupan baru kepada kanak-kanak yang kurang bernasib baik. Mengendalikan persatuan yang bergerak sepenuh masa sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dengan tugas utamanya untuk menjaga kebajikan golongan kanak-kanak yang kurang bernasib baik, bukanlah satu tugas yang mudah.
Cabaran memanglah banyak tetapi itu semua tidak menghalang ketiga-tiga mereka iaitu Tharini Cecil James, Anderson Selvasegaram, dan Thavamany Gopal, untuk melaksanakan kerja-kerja murni itu. Tugas mereka bukan sekadar memberi keyakinan dan semangat untuk kanak-kanak meneruskan kehidupan tetapi mendekati jiwa dan emosi mereka yang kebanyakannya berada dalam keadaan trauma yang sangat dahsyat. Golongan sasaran yang dibantu terdiri daripada kanak-kanak mangsa pemerdagangan orang, banduan muda, kanak-kanak di pusat tahanan Imigresen dan mereka yang tinggal di kawasan perumahan setinggan serta pangsapuri kos rendah.
Dekati mangsa
Mendekati kanak-kanak yang hidup dalam trauma akibat menjadi mangsa pemerdagangan, bukan sesuatu yang mudah. Pendekatan yang khusus perlu dilakukan untuk memasuki ke dalam emosi mereka yang sentiasa berada dalam ketakutan dan hilang keyakinan kepada orang di sekelilingnya.
Cabaran itu yang dihadapi oleh Tharini setiap hari ketika berhadapan dengan kanak-kanak berkenaan yang ditempatkan di rumah perlindungan kanak-kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Fokusnya adalah untuk membina keyakinan baru kepada kanak-kanak tersebut agar dapat menjalani kehidupan yang lebih baik pada masa hadapan selepas pulang ke pangkuan keluarga di negara masing-masing.
Berpengalaman selama 15 tahun dalam NGO, Tharini berkata, tugasnya bermula pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari setiap hari di rumah perlindungan tersebut. Bersama dua sukarelawan yang terlatih, beliau akan merangka setiap aktiviti yang akan dijalankan sepanjang tempoh dua jam itu.
“Setiap hari aktiviti berbeza akan dijalankan, menjadi terapi kepada kanak-kanak tersebut terutama yang baru ditempatkan di rumah perlindungan yang mana mereka masih berada dalam keadaan trauma. Ada sesetengah kanak-kanak itu langsung tidak percaya kepada orang di sekelilingnya dan ini menyebabkan mereka sukar untuk memberi kerjasama serta enggan menjawab soalan-soalan yang ditanyakan,” katanya.
Beliau cuba memberi keyakinan kepada mangsa yang kebanyakannya telah mengalami tekanan emosi dan fizikal yang teruk akibat diperlakukan seperti hamba moden hingga ada yang menyebabkan mereka menjadi penagih dadah serta mengalami kemurungan.
“Perjalanan hidup yang dilalui mereka dari negara asal kemudian ditipu ejen yang membawa mereka ke negara ini hingga ada yang menjadi mangsa dera, rogol, dipergunakan untuk mengemis, menjadi pelacur dan sebagainya membuatkan mereka trauma. “Kerana itu mereka memerlukan terapi yang khusus untuk melupakan trauma yang dialami itu,” kata Tharini.
Terapi
Selain masalah bahasa, keengganan memberikan kerjasama antara kesukaran yang dihadapi Tharini serta kakitangan JKM yang mengendalikan kanak-kanak berkenaan. Tharini berkata, kanak-kanak ini sentiasa dalam keadaan bimbang terutama keselamatan diri dan keluarga mereka di kampung halaman yang ditakuti menjadi buruan ejen menyebabkan mereka keliru untuk memberikan kerjasama atau sebaliknya.
Cara untuk mengatasinya ialah melakukan aktiviti yang menyeronokkan mereka seperti melukis, memasak, membuat kerja kraf serta permainan yang boleh membuatkan mereka melupakan seketika kebimbangan tersebut. Mengambil contoh, ketika aktiviti memasak. Keseronokan ketika menghasilkan sesuatu makanan itu menyebabkan kanak-kanak tersebut akan menjadi lebih mesra dan mudah bercerita.
Setahun jagung
Usia penubuhan Suka Society yang bermula sejak Oktober 2010, dilihat masih muda, namun cukup berpengalaman. Aktiviti persatuan yang penuh sepanjang tahun menunjukkan mereka mendapat kepercayaan daripada banyak pihak terutama jabatan-jabatan kerajaan yang berkaitan hal kanak-kanak untuk berganding bahu bersama-sama mereka.
Mengakui bukan mudah untuk mendapat kepercayaan itu, Anderson berkata, kesungguhan dan kaedah yang digunakan menyebabkan usaha mereka diterima. Suka Society bukan hanya memberi tumpuan kepada kanak-kanak di rumah perlindungan dan penjara, mereka turut menjadi tenaga pengajar bagi kursus dan latihan kepada pegawai Imigresen di seluruh Malaysia terutama dalam soal mengendalikan tahanan kanak-kanak. — Bernama