We had a Speak Up! campaign in December of 2010 to encourage members of the public to speak up against child abuse.  We posted Berita Harian’s report on our event below –

Buang Sikap Tidak Endah (Fatin Hafizah Mohd Shahar)

SEJAK kebelakangan ini, kita sering digemparkan dengan berita mengenai nasib kanak-kanak yang didera dengan kejam. Laporan media juga tidak terkecuali memaparkan pelbagai bentuk kes dera termasuk dipukul, ditendang dan ada yang dirogol sehingga meragut nyawa mereka yang masih suci di muka bumi ini.Tindakan itu seakan tidak berhati perut dan dilihat semakin berleluasa bagaikan satu barah kepada pendera untuk melepaskan nafsu amarah. Mengapa dalam kehidupan yang serba moden kini, masih ada lagi golongan yang berkelakuan di luar norma manusia.Mungkin juga ada sesetengah kelompok yang seakan memekakkan telinga dan menutup mata tidak mahu terbabit, kononnya tidak mahu ‘menjaga tepi kain orang’ dan sanggup mendiamkan diri walaupun melihat kejadian yang menyedihkan berlaku di depan mata.

Melihat kelalaian yang ditunjukkan banyak pihak menganjurkan pelbagai program berkaitannya termasuk Persatuan Kebajikan Suara Kanak-Kanak Malaysia (SUKA) turut bangkit untuk menyedarkan umum mengenai pentingnya pembabitan semua demi menghentikan kes penderaan yang semakin berleluasa menerusi kempen Speak Up.

Tujuan utama kempen itu bagi menyediakan kehidupan yang jauh lebih bermakna bagi kanak-kanak yang menjadi tempat melepaskan nafsu dan kemarahan tidak terkawal. Pada masa yang sama, kanak-kanak juga diberikan peluang untuk hidup normal dalam masyarakat.

Pengarah Eksekutif Persatuan SUKA, Anderson Selvasegaram, berkata setiap tahun dianggarkan sebanyak 3,000 kes penderaan dilaporkan dan lebih mengejutkan apabila didapati 70 peratus pendera adalah mereka yang rapat dengan mangsa.
“Apa yang tercatat dalam statistik itu adalah laporan kes yang direkodkan dan 50 peratus daripada laporan pula menunjukkan kanak-kanak didera oleh ibu bapa mereka sendiri. Bayangkan, berapa pula jumlahnya bagi yang tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa.

“Tindakan jiran atau orang sekeliling yang memilih untuk mendiamkan diri juga menjadi punca kepada peningkatan kes penderaan kanak-kanak. Tanpa mereka sedari, keputusan sebenarnya mengorbankan lebih ramai lagi kanak-kanak yang tidak berdosa,” jelasnya sempena melancarkan kempen Speak Up di Taman Rekreasi Kiara, di sini, baru-baru ini.

Menjelas lanjut mengenai kempen itu, katanya, masyarakat perlu bangkit dan bertekad di hati bahawa keselamatan dan kehidupan kanak-kanak adalah tanggungjawab semua dan mereka perlu dibela sebagai penyambung warisan.

“Adalah penting untuk kita semua buang sikap ‘menyepikan diri’ kerana ia adalah tanggungjawab semua untuk menjaga nyawa yang tidak berdosa dari terus tergadai di atas tangan mereka tidak bermoral. Setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk hidup dan membesar sebagai insan berguna,” katanya.

Kempen yang berjaya menarik minat ramai pengunjung itu turut menyuarakan mengenai kaedah menghalang kes penderaan dari terus berleluasa, dagangan kanak-kanak, pelacuran kanak-kanak dan pelbagai kesalahan yang melanggar undang-undang.

Sehubungan itu, dana dan barangan yang terkumpul sepanjang kempen itu diadakan akan digunakan untuk aktiviti pemulihan bagi membantu kanak-kanak yang terbabit termasuk keluarga tunggal.